Ramadhan Kareem
Alhamdulillah bersyukur kita
kepada Allah kerana dengan rahmatnya kita diberi sekali lagi peluang untuk
berada didalam bulan yang penuh dengan keampunannya. Inilah perkara pertama
yang perlu kita lakukan iaitu memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat ilahi
yang memberi kesempatan untuk kita beramal dibulan yang mulia ini.
Nikmat yang
diberikan ini amatlah rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah
yang terjadi kepada sebahagian orang kita hari ini. Hari-hari di bulan
Ramadhan berlalu tanpa diisi dengan aktiviti-aktiviti yang
dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang berlipat kali ganda seperti
bertadarus Al-quran, menunaikan solat tarawih, berqiamullail dan sebagainya. Apakah
mereka tidak tahu bahawa Ramadhan ini sangat besar nilainya?
Sedarkah kita bahawa ramai dalam
kalangan kita yang terdiri dari saudara-mara dan rakan-rakan telah dijemput
oleh Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum sempat tibanya Ramadhan. Mereka juga
seperti kita, ingin berada di bulan Ramadhan, tapi apakan daya mereka tidak
lagi dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menyambut Ramadhan. Lebih menyentap hati,
ada antara mereka yang menemui ajal disaat Ramadhan kian hampir tiba. Betapa
sedihnya hati si suami kerana tidak dapat menyambut Ramadhan bersama isteri
tersayang yang maut dalam nahas jalan raya. Inilah berita yang menjadi paparan
akhbar-akhbar disaat Ramadhan menjelma.
Oleh itu, peluang yang tidak
ternilai ini janganlah kita sia-siakan begitu sahaja. Marilah kita
lipatgandakan amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah ini dengan
melakukan perkara-perkara sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, iktikaf dan
berqiamullail. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka
dan dirantai syaitan-syaitan sepertimana sabda nabi s.a.w yang berbunyi:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ
جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)
Maksudnya: Dari Abu Hurairah
r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan,
terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta
terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)" - (Hadith
Sahih - Riwayat Muslim)
Bagi golongan mahasiswa mahasiswi
yang sekarang berada dalam musim peperiksaan akhir semester, Ramadhan ini
merupakan satu peluang untuk mereka fokus terhadap mengulangkaji disamping
beribadah. Sebagai seorang pelajar harus bijak membahagikan masa mengulangkaji
dan beribadah. Dua kompilasi ini jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, sudah
pasti akan menghasilkan satu natijah yang sangat manis iaitu kejayaan.
Semoga ibadah puasa kita adalah
ibadah yang berkualiti, tidak hanya sekadar mendapat letih dan dahaga. Selain
menahan diri dari makan dan minum, antara aspek lain yang perlu dijaga adalah
pandangan dan percakapan seharian kita. Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya
kerana belum tentu masih ada Ramadhan untuk kita pada tahun hadapan.
By: Abdul Syukur Hj Ramli
25 Jun 2015/ 8 Ramadhan 1436
11.00 p.m
0 comments:
Post a Comment