Pada bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah, kabilah Quraisy arab bersama beberapa kabilah lain seperti bani Nadhir, bani Ghatafan dan bani Quraizah telah membentuk gabungan dipimpin oleh Abu Sufyan bersepakat menentang Nabi Muhammad S.A.W dalam perang Ahzab.  Hasil gabungan tersebut telah membentuk satu pasukan tentera musuh seramai 10,000 orang. Jumlah yang besar ini agak mustahil bagi tentera Islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W untuk menewaskan mereka memandangkan jumlah tentera Islam dalam peperangan tersebut seramai 3000 orang. Lebih merisaukan, Bani Quraizah yang memiliki kelebihan dari aspek kelengkapan perang turut terlibat dalam gabungan menentang Nabi Muhammad S.A.W. Bani Quraizah yang menetap di Madinah telah melanggar perjanjian damai Piagam Madinah bersama Nabi Muhammad S.A.W. dengan menyertai pihak gabungan Quraisy setelah berjaya dipujuk rayu dengan pelbagai ganjaran dan jaminan.

Piagam Madinah adalah satu perlembagaan bertulis pertama didunia yang dibuat oleh Nabi Muhammad S.A.W pada tahun 622M (Tahun pertama Hijrah) yang mana salah satu tujuannya adalah untuk menghadapi masyarakat majmuk Madinah, bersama-sama orang bukan Islam mempertahankan Madinah dari ancaman luar sekaligus mewujudkan keamanan di negeri tersebut.

Memikirkan bahaya yang mengancam Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Muslimin, Salman Al-Farisi telah mencadangkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. menggali parit di kawasan utara Madinah sebagai pertahanan dari serangan tentera musuh dari utara. Jesteru itu, peperangan Ahzab juga dikenali sebagai perang Khandaq yang bermaksud parit. Setibanya tentera musuh, mereka terhenti di seberang parit tersebut. Kemudian 3 orang dari mereka berjaya menyeberangi parit tersebut dan berlaku pertempuran seorang dengan seorang. Pertempuran seorang dengan seorang memihak kepada tentera Muslimin dengan tertewasnya ketiga-tiga tentera musuh tersebut.


Kedudukan tentera Islam yang dikepung tentera gabungan.

Sementara itu, tentera berkuda Muslimin diarahkan untuk mempertahankan bahagian selatan jika terjadi serangan oleh Bani Quraizah dari arah tersebut. Nuaim ibn Mas’ud seorang yang dihormati oleh puak gabungan telah datang menemui Rasulullah dan menyatakan keislamannya secara rahsia. Beliau berjaya menimbulkan syak wasangka diantara Bani Quraizah dengan pihak gabungan di sebelah utara yang terdiri dari suku Quraisy tersebut. Bani Quraizah mula tidak yakin dengan jaminan yang diberikan oleh pihak gabungan di utara Madinah menyebabkan beliau masih dalam pertimbangan untuk melakukan serangan. Sementara di utara, pihak gabungan Quraisy dikhabarkan berita palsu pengkhianatan bani Quraizah dalam gabungan tersebut. Pengepungan tentera musuh di utara Madinah selama 3-4 minggu mula menemui jalan buntu apabila mereka gagal menyeberangi parit kerana dihujani dengan anak panah dari tentera Muslimin setiap kali cubaan untuk menyeberanginya.

Perang Ahzab ada dirakam didalam Al-Quran pada surah Al-Ahzab.

Al-Ahzab:9-11

Allah S.W.T menolong Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Muslimin dengan mengirimkan tiupan angin yang kuat pada waktu malam kepada tentera musuh mengakibatkan khemah-khemah tempat perlindungan dan bekalan makanan musnah sama sekali. Tentera musuh di utara mula berundur kerana merasa tidak mampu lagi untuk mengalahkan tentera Islam ditambah pula dengan salah sangka mereka terhadap Bani Quraizah di selatan. Mereka akhirnya berundur untuk selama-lamanya. Tentera Islam kemudian mula mengepung Bani Quraizah. Bani Quraizah yang tidak mendapat pertolongan dari pihak gabungan di utara akhirnya akur dan menyerah kalah.  Mereka dihukum bunuh diatas pengkhianatan terhadap Piagam Madinah.

Nabi Muhammad S.A.W kemudian bertakbir menyambut kemenangan tersebut  dan diikuti oleh para sahabat.

Lafaz Takbir
Inilah lafaz takbir yang kita laungkan pada setiap kali hari raya. Meskipun kita tidak turun di medan perang dengan mengangkat senjata, kita telah berperang dengan melawan hawa nafsu dan melaungkan takbir sebagai meraikan kejayaan kita bersama. Sama-sama kita hayati dan ambil ibrah pada peristiwa yang berlaku disebalik lafaz takbir tersebut. =)


Abdul Syukur Haji Ramli.
12.45AM, 26 September 2015


Rujukan:

- Al-Quranul Karim
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Ahzab
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Bani_Quraizah
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Piagam_Madinah
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah kerana dengan rahmatnya kita diberi sekali lagi peluang untuk berada didalam bulan yang penuh dengan keampunannya. Inilah perkara pertama yang perlu kita lakukan iaitu memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat ilahi yang memberi kesempatan untuk kita beramal dibulan yang mulia ini.

Nikmat yang diberikan ini amatlah rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah yang terjadi kepada sebahagian orang kita hari ini. Hari-hari di bulan Ramadhan berlalu tanpa diisi dengan aktiviti-aktiviti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang berlipat kali ganda seperti bertadarus Al-quran, menunaikan solat tarawih, berqiamullail dan sebagainya. Apakah mereka tidak tahu bahawa Ramadhan ini sangat besar nilainya?

Sedarkah kita bahawa ramai dalam kalangan kita yang terdiri dari saudara-mara dan rakan-rakan telah dijemput oleh Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum sempat tibanya Ramadhan. Mereka juga seperti kita, ingin berada di bulan Ramadhan, tapi apakan daya mereka tidak lagi dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menyambut Ramadhan. Lebih menyentap hati, ada antara mereka yang menemui ajal disaat Ramadhan kian hampir tiba. Betapa sedihnya hati si suami kerana tidak dapat menyambut Ramadhan bersama isteri tersayang yang maut dalam nahas jalan raya. Inilah berita yang menjadi paparan akhbar-akhbar disaat Ramadhan menjelma.

Oleh itu, peluang yang tidak ternilai ini janganlah kita sia-siakan begitu sahaja. Marilah kita lipatgandakan amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah ini dengan melakukan perkara-perkara sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, iktikaf dan berqiamullail. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan sepertimana sabda nabi s.a.w yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)" - (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Bagi golongan mahasiswa mahasiswi yang sekarang berada dalam musim peperiksaan akhir semester, Ramadhan ini merupakan satu peluang untuk mereka fokus terhadap mengulangkaji disamping beribadah. Sebagai seorang pelajar harus bijak membahagikan masa mengulangkaji dan beribadah. Dua kompilasi ini jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan menghasilkan satu natijah yang sangat manis iaitu kejayaan.

Semoga ibadah puasa kita adalah ibadah yang berkualiti, tidak hanya sekadar mendapat letih dan dahaga. Selain menahan diri dari makan dan minum, antara aspek lain yang perlu dijaga adalah pandangan dan percakapan seharian kita. Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya kerana belum tentu masih ada Ramadhan untuk kita pada tahun hadapan.

By: Abdul Syukur Hj Ramli
25 Jun 2015/ 8 Ramadhan 1436
11.00 p.m
DALIL MEMBOLEHKAN [ TAWASSUL ]

Terdapat sebilangan manusia yang JAHIL dan tidak mengerti makna sebenar bagi tawasul. Akibat ketidakfahaman mereka itu telah menyebabkan timbulnya fitnah terhadap tawasul sehingga mereka sanggup melemparkan tuduhan dan fitnah buruk terhadap umat Islam yang melakukan tawasul dengan pelbagai tohmahan seperti quburiyyin, bid'ah, syirik, sesat, dan seumpamanya akibat salah faham mereka itu.

Sebenarnya, para Habib dan para ulama' yang banyak menziarahi makam para auliya Allah bukan untuk meminta hajat kepada orang yang telah mati, bukan pergi sujud di kubur, bukan membawa makanan ke kubur seperti penyembah kubur tapi sekadar mengambil keberkatan dengan mengingatkan diri pada kematian, dan merenung amal-amal soleh yang dikerjakan para wali itu agar timbul semangat dalam hati untuk mencontohi para solehin, tapi ramai orang jahil yang telah salah faham pada tindakan mereka, lalu menyangka mereka menyembah kubur dan menuduh mereka dengan dakwaan mensyirikkan Allah.

Dan sebenarnya juga, tawasul ini berkaitan dengan CARA dan KAEDAH untuk berdoa sahaja pun. Definisi TAWASSUL ialah memohon daripada ALLAH SECARA LANGSUNG serta meminta syafaat daripada-Nya dengan apa atau siapa yang disukai-Nya. Justeru ALLAH sahaja tempat memohon dan meminta. TIADA yang lain diminta. Berdasarkan takrif ini yang jelaslah ia DIBOLEHKAN !

Terdapat beberapa bentuk tawasul yang disepakati oleh para ulama dan dibolehkan, seperti:

-Tawassul seseorang dengan amalan baiknya.
-Tawassul dengan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya, Zat-Nya dan seumpamanya.
-Tawassul dengan cara memohon doa orang-orang soleh yang masih hidup.

Adapun yang menjadi perselisihan segelintir ulama ialah tawassul dengan orang yang telah meninggal dunia; adakah diperbolehkan atau tidak. Ada segolongan yang menghukum ia syirik manakala MAJORITI berpandangan bahawa ia diharuskan dengan dalil-dalil yang akan kita terangkan di sini.

Para fuqaha' telah IJMAK bahawa bertawasul dengan para nabi dan para aulia adalah DIBOLEHKAN (MUBAH), dan dianjurkan sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. [Lihat Syawahid al-Haqq oleh Syeikh Yusuf al-Nabhani, 158].

Dalam hal yang sama, mantan Mufti Mesir, al-Allamah Sheikh Ali Jum'ah turut mengungkapkan, ''Mazhab feqah yang besar sepakat atas bolehnya bertawasul dengan Nabi S.A.W, malah menegaskan anjuran terhadap perkara ini dan tidak membezakan apakah tawasul itu semasa Baginda S.A.W masih hidup ataupun setelah Baginda S.A.W wafat. Tidak ada yang menyanggahinya melainkan Ibn Taymiyyah, iaitu beliau membezakan dengan Nabi S.A.W semasa hidup Rasulullah dan selepas kewafatannya. Tidak diambil pendapat shadhnya (ganjil) itu. Kami menyeru kepada umat agar berpegang kepada apa yang telah disepakati oleh para Aimmah yang terkemuka.'' [Al-Bayan limaYasyghal al-Azhan, hal 177]

Justeru, penentangan terhadap tawasul kepada orang yang telah mati hanyalah pandangan terpencil daripada segelintir ulama, khususnya mungkin yang mengikuti aliran pemikiran as-Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah dan BUKANLAH pandangan majoriti ulama.

Soalan : Adakah ada dalil yang membolehkan bertawasul dengan orang yang telah mati ?

Jawapan : Terlalu banyak nas yang boleh dijadikan dalil bahawa tawasul dengan orang yang mati juga dibolehkan (mubah) seperti mana tawasul dengan orang yang hidup. Harus ditekankan sekali lagi bahawa tawasul TIDAK bermakna memohon pertolongan kepada orang mati, tetapi menjadikan mereka sebagai WASILAH kepada ALLAH dalam berdoa, dan perkara ini seperti yang kita jelaskan sebelum ini berdasarkan anjuran al-Quran. [rujuk Surah al-Maidah: 35, Surah al-Isra':57, Surah An-Nisa':64]

Oleh itu, tuduhan ''meminta dengan kubur'' atau seumpamanya adalah TUDUHAN yang dilemparkan oleh mereka yang JAHIL terhadap konsep tawasul yang sebenar. Manakala dalil daripada hadis pula antaranya seperti berikut:

Pertama, hadis Uthman ibn Hunaif, beliau mendengar Baginda Shallallahu 'alaihi wa sallam didatangi seorang lelaki buta mengadu penglihatannya yang hilang. Dia berkata, ''Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai pembantu (untuk membantu berjalan) dan aku juga ditimpa kesempitan.'' Rasulullah bersabda, ''Pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk kemudian solatlah dua rakaat, kemudian berdoalah, ''Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajuh kepada-Mu dan (hak) Nabi-Mu, Muhammad Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu agar dibukakan mataku. Ya Allah, berilah dia syafaat untukku dan berilah aku syafaat'.'' Uthman berkata, ''Demi Allah, maka tiada berpisah kami dan tidak juga lama selepas peristiwa itu berlaku dengan kami sehingga masuk seorang lelaki seolah-olah tidak pernah buta.'' (Tirmizi,al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan lain-lain)

Adapun status hadis ini, Imam Tirmizi mengatakan ia sahih walaupun hadis ahad melalui Abu Ja'far. Ada yang mengatakan ia Abu Ja'far Khatmi, seperti ujar Ibn Taymiyyah. Ibn Hajar mengatakan dalam Taqrib at-Tahdhib dia (Khatmi) dan boleh dipercayai (saduq). Al-Hakim turut meriwayatkan berdasarkan syarat Imam Bukhari dan Muslim dan Dhahabi mengesahkan, manakala Shawkani turut menjadikannya dalil. Imam Bukhari merakamkannya dalam Tarikh al-Kabir, Ibn Majah dalam Sunan dan beliau mengatakan ia sahih. Memadai kita mengatakan bahawa tidak kurang daripada 15 orang ulama besar hadis yang bertaraf ''huffaz'' (menghafal lebih 100,000 hadis beserta sanad) seperti Imam Dhahabi, Ibn Hajar, Hakim, Baihaqi, Tabarani, Ibn 'Abd al-Barr, Shawkani dan Ibn Taymiyyah sendiri yang mengesahkan bahawa hadis ini Sahih.

Kedua, hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tabarani dan Imam al-Baihaqi bahawa seorang lelaki telah datang untuk mengadu kepada Sayyidina Uthman bin Affan r.a. pada zaman pemerintahannya. Namun Sayyidina Uthman r.a. tidak mengendahkannya lantaran kesibukan. Lelaki itu berlalu dan terserempak dengan Uthman bin Hunayf. Uthman bin Hunayf r.a. yang teringat peristiwa tawasul orang buta dengan Nabi, telah mengajanjurkan lelaki itu tadi agar berbuat perkara yang sama. Beliau berkata, ''Pergilah kamu ke tempat berwuduk, berwuduklah dan datanglah ke masjid dan bersolatlah dua rakaat. Kemudian berdoa, 'Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu, aku menghadap kepada-Mu, melalui Nabi-Mu yang penuh kasih sayang. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku menghadap (hajatku) dengan perantaraanmu kepada Tuhanku agar diperkenankan bagiku hajatku.' Dan engkau sebutkan hajatmu.''

Lelaki itu pun beredar dari situ dan melakukan suruhan tersebut. Kemudian dia pergi ke rumah Sayyidina Uthman. Seorang penjaga pintu membuka pintu dan membawanya masuk menghadap Sayyidina Uthman. Sayyidna Uthman r.a. berkata, ''Sebutlah hajatmu itu.'' Lalu lelaki itu pun memberitahu hajat dan Sayyidina Uthman menunaikan hajatnya. Sayyidina Uthman bertanya lagi, ''Kalau kamu mempunyai hajat lagi, beritahulah.''

Selepas itu lelaki itu keluar dan menemui Uthman bin Hunayf r.a. Dia berkata kepada Uthman bin Hunayf, ''Moga-moga Allah membalas jasamu dengan kebaikan. Tidaklah dia (khalifah) memandang kepada hajatku sehingga engkau mengajarkan kepadaku.'' Uthman bin Hunayf menjawab, ''Demi Allah! Bukan aku mengajarmu tetapi sebenarnya aku menyaksikan bahawa Rasulullah ketika didatangi seorang lelaki mengadu tentang penglihatannya yang hilang ... (hingga akhir hadis).''

Kedua-dua hadis di atas mengisahkan tentang tawasul kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam pada dua situasai berbeza iaitu semasa Baginda masih hidup (lelaki buta bertemu Nabi) dan selepas Baginda wafat (lelaki yang bertemu Uthman bin Hunayf). Justeru, tidak timbullah persoalan sama ada Rasulullah masih hidup atau sudah wafat kerana yang ditawasulkan bukan kepada jasad Baginda. Sebaliknya bertawasul kepada maqam dan kemuliaan yang dimiliki oleh Rasulullah di sisi ALLAH. Hal yang demikian tidak membezakan sama ada Baginda atau seseorang yang soleh itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Selain dalil ini, banyak lagi dalil yang boleh diketengahkan, termasuklah amalan tawasul yang dilakukan oleh para Sahabat, salafussoleh, para imam mazhab serta yang lainnya kepada Rasulullah ketika Rasulullah telah wafat, ataupun bertawasul kepada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia.

Cuma dalam keadaan seseorang itu tidak diberi taufik dan hidayah oleh ALLAH, berilah dalil sebanyak mana sekalipun, tidak akan meyakinkan dia untuk menerima kebenaran ini. Maka cukuplah kita katakan, sesiapa yang ingin bertawasul dengan cara ini ia dibolehkan (mubah). Sesiapa yang ragu, maka tinggalkanlah tanpa melemparkan tuduhan syirik dan seumpamanya kepada mereka yang melakukannya. [Lihat Adillah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, 79-83]

Wallahu'alam.

Dipetik dari Majalah Q & A edisi 24,
Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad,
Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sarjana (MA) dalam bidang Tamadun Islam di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC).
Ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Malaya dalam pengkhususan Tasawuf.
Sekarang berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Media IKIM.
"Sesungguhnya Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik" - Nabi Muhammad S.A.W (او كما قال الرسول صلى الله عليه وسلم)


Alhamdulillah, pada 18 April 2014 yang lalu berkesempatan menyertai Kem Kepimpinan Al-Fateh bertempat di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai "Abang Fasi" bersama rakan-rakan SekreFEM yang lain. Program yang dianjurkan oleh rakan-rakan Sekretariat Fakulti Ekonomi & Muamalat, USIM selama 3 hari ini disertai oleh 51 orang peserta yang terdiri dari tingkatan 2 hingga 5 dari 3 buah sekolah sekitar Negeri Sembilan iaitu SMK Mantin, SMK Senaling dan SMK Juasseh.

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menerapkan semangat kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam diri peserta disamping membina ukhwah sesama peserta dan penganjur. Jati diri dan sifat kepimpinan peserta terlatih melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan sepanjang program. Selain itu para peserta juga dapat belajar mengatur strategi dan membentuk satu kerjasama dalam kumpulan.
Seri Menanti Resort, Kuala Pilah.


Kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh 


“Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!” - Ahli Sejarah Byzantine.

Sultan Muhammad ibn Sultan Murad II atau Sultan Muhammad Al-Fateh ditabal menjadi Pemimpin Kerajaan Islam Turki Usmaniah ketika berumur 19 tahun setelah kematian ayahandanya. Baginda membuat perancangan yang teliti dan menyusun strategi bertahun-tahun bagi memastikan cita-citanya untuk menakluk Kota Konstantinopel tercapai sekaligus merealisasikan hadis Nabi Muhammad S.A.W tentang penaklukan kota tersebut.

Wahai pemuda-pemudi Islam! Semoga kamu menjadi perwira islam. Perwira yang kenal agamanya yang uggul, yang beribadat dan berjihad, memperbaiki kelemahan diri disamping berdakwah di JALAN ALLAH..!

Semoga ukhuwah yang terjalin diasaskan dengan akidah islam yang suci dan memberi seribu manfaat untuk kita, semoga Allah S.W.T mengekalkan ukhuwah ini hingga ke syurga.