Ramadhan Kareem

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah kerana dengan rahmatnya kita diberi sekali lagi peluang untuk berada didalam bulan yang penuh dengan keampunannya. Inilah perkara pertama yang perlu kita lakukan iaitu memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat ilahi yang memberi kesempatan untuk kita beramal dibulan yang mulia ini.

Nikmat yang diberikan ini amatlah rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah yang terjadi kepada sebahagian orang kita hari ini. Hari-hari di bulan Ramadhan berlalu tanpa diisi dengan aktiviti-aktiviti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang berlipat kali ganda seperti bertadarus Al-quran, menunaikan solat tarawih, berqiamullail dan sebagainya. Apakah mereka tidak tahu bahawa Ramadhan ini sangat besar nilainya?

Sedarkah kita bahawa ramai dalam kalangan kita yang terdiri dari saudara-mara dan rakan-rakan telah dijemput oleh Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum sempat tibanya Ramadhan. Mereka juga seperti kita, ingin berada di bulan Ramadhan, tapi apakan daya mereka tidak lagi dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menyambut Ramadhan. Lebih menyentap hati, ada antara mereka yang menemui ajal disaat Ramadhan kian hampir tiba. Betapa sedihnya hati si suami kerana tidak dapat menyambut Ramadhan bersama isteri tersayang yang maut dalam nahas jalan raya. Inilah berita yang menjadi paparan akhbar-akhbar disaat Ramadhan menjelma.

Oleh itu, peluang yang tidak ternilai ini janganlah kita sia-siakan begitu sahaja. Marilah kita lipatgandakan amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah ini dengan melakukan perkara-perkara sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, iktikaf dan berqiamullail. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan sepertimana sabda nabi s.a.w yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)" - (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Bagi golongan mahasiswa mahasiswi yang sekarang berada dalam musim peperiksaan akhir semester, Ramadhan ini merupakan satu peluang untuk mereka fokus terhadap mengulangkaji disamping beribadah. Sebagai seorang pelajar harus bijak membahagikan masa mengulangkaji dan beribadah. Dua kompilasi ini jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan menghasilkan satu natijah yang sangat manis iaitu kejayaan.

Semoga ibadah puasa kita adalah ibadah yang berkualiti, tidak hanya sekadar mendapat letih dan dahaga. Selain menahan diri dari makan dan minum, antara aspek lain yang perlu dijaga adalah pandangan dan percakapan seharian kita. Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya kerana belum tentu masih ada Ramadhan untuk kita pada tahun hadapan.

By: Abdul Syukur Hj Ramli
25 Jun 2015/ 8 Ramadhan 1436
11.00 p.m

0 comments:

Post a Comment