Takbir Kemenangan

Pada bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah, kabilah Quraisy arab bersama beberapa kabilah lain seperti bani Nadhir, bani Ghatafan dan bani Quraizah telah membentuk gabungan dipimpin oleh Abu Sufyan bersepakat menentang Nabi Muhammad S.A.W dalam perang Ahzab.  Hasil gabungan tersebut telah membentuk satu pasukan tentera musuh seramai 10,000 orang. Jumlah yang besar ini agak mustahil bagi tentera Islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W untuk menewaskan mereka memandangkan jumlah tentera Islam dalam peperangan tersebut seramai 3000 orang. Lebih merisaukan, Bani Quraizah yang memiliki kelebihan dari aspek kelengkapan perang turut terlibat dalam gabungan menentang Nabi Muhammad S.A.W. Bani Quraizah yang menetap di Madinah telah melanggar perjanjian damai Piagam Madinah bersama Nabi Muhammad S.A.W. dengan menyertai pihak gabungan Quraisy setelah berjaya dipujuk rayu dengan pelbagai ganjaran dan jaminan.

Piagam Madinah adalah satu perlembagaan bertulis pertama didunia yang dibuat oleh Nabi Muhammad S.A.W pada tahun 622M (Tahun pertama Hijrah) yang mana salah satu tujuannya adalah untuk menghadapi masyarakat majmuk Madinah, bersama-sama orang bukan Islam mempertahankan Madinah dari ancaman luar sekaligus mewujudkan keamanan di negeri tersebut.

Memikirkan bahaya yang mengancam Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Muslimin, Salman Al-Farisi telah mencadangkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. menggali parit di kawasan utara Madinah sebagai pertahanan dari serangan tentera musuh dari utara. Jesteru itu, peperangan Ahzab juga dikenali sebagai perang Khandaq yang bermaksud parit. Setibanya tentera musuh, mereka terhenti di seberang parit tersebut. Kemudian 3 orang dari mereka berjaya menyeberangi parit tersebut dan berlaku pertempuran seorang dengan seorang. Pertempuran seorang dengan seorang memihak kepada tentera Muslimin dengan tertewasnya ketiga-tiga tentera musuh tersebut.


Kedudukan tentera Islam yang dikepung tentera gabungan.

Sementara itu, tentera berkuda Muslimin diarahkan untuk mempertahankan bahagian selatan jika terjadi serangan oleh Bani Quraizah dari arah tersebut. Nuaim ibn Mas’ud seorang yang dihormati oleh puak gabungan telah datang menemui Rasulullah dan menyatakan keislamannya secara rahsia. Beliau berjaya menimbulkan syak wasangka diantara Bani Quraizah dengan pihak gabungan di sebelah utara yang terdiri dari suku Quraisy tersebut. Bani Quraizah mula tidak yakin dengan jaminan yang diberikan oleh pihak gabungan di utara Madinah menyebabkan beliau masih dalam pertimbangan untuk melakukan serangan. Sementara di utara, pihak gabungan Quraisy dikhabarkan berita palsu pengkhianatan bani Quraizah dalam gabungan tersebut. Pengepungan tentera musuh di utara Madinah selama 3-4 minggu mula menemui jalan buntu apabila mereka gagal menyeberangi parit kerana dihujani dengan anak panah dari tentera Muslimin setiap kali cubaan untuk menyeberanginya.

Perang Ahzab ada dirakam didalam Al-Quran pada surah Al-Ahzab.

Al-Ahzab:9-11

Allah S.W.T menolong Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Muslimin dengan mengirimkan tiupan angin yang kuat pada waktu malam kepada tentera musuh mengakibatkan khemah-khemah tempat perlindungan dan bekalan makanan musnah sama sekali. Tentera musuh di utara mula berundur kerana merasa tidak mampu lagi untuk mengalahkan tentera Islam ditambah pula dengan salah sangka mereka terhadap Bani Quraizah di selatan. Mereka akhirnya berundur untuk selama-lamanya. Tentera Islam kemudian mula mengepung Bani Quraizah. Bani Quraizah yang tidak mendapat pertolongan dari pihak gabungan di utara akhirnya akur dan menyerah kalah.  Mereka dihukum bunuh diatas pengkhianatan terhadap Piagam Madinah.

Nabi Muhammad S.A.W kemudian bertakbir menyambut kemenangan tersebut  dan diikuti oleh para sahabat.

Lafaz Takbir
Inilah lafaz takbir yang kita laungkan pada setiap kali hari raya. Meskipun kita tidak turun di medan perang dengan mengangkat senjata, kita telah berperang dengan melawan hawa nafsu dan melaungkan takbir sebagai meraikan kejayaan kita bersama. Sama-sama kita hayati dan ambil ibrah pada peristiwa yang berlaku disebalik lafaz takbir tersebut. =)


Abdul Syukur Haji Ramli.
12.45AM, 26 September 2015


Rujukan:

- Al-Quranul Karim
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Ahzab
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Bani_Quraizah
- https://ms.wikipedia.org/wiki/Piagam_Madinah

0 comments:

Post a Comment

Ramadhan Kareem

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah kerana dengan rahmatnya kita diberi sekali lagi peluang untuk berada didalam bulan yang penuh dengan keampunannya. Inilah perkara pertama yang perlu kita lakukan iaitu memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat ilahi yang memberi kesempatan untuk kita beramal dibulan yang mulia ini.

Nikmat yang diberikan ini amatlah rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah yang terjadi kepada sebahagian orang kita hari ini. Hari-hari di bulan Ramadhan berlalu tanpa diisi dengan aktiviti-aktiviti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang berlipat kali ganda seperti bertadarus Al-quran, menunaikan solat tarawih, berqiamullail dan sebagainya. Apakah mereka tidak tahu bahawa Ramadhan ini sangat besar nilainya?

Sedarkah kita bahawa ramai dalam kalangan kita yang terdiri dari saudara-mara dan rakan-rakan telah dijemput oleh Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum sempat tibanya Ramadhan. Mereka juga seperti kita, ingin berada di bulan Ramadhan, tapi apakan daya mereka tidak lagi dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menyambut Ramadhan. Lebih menyentap hati, ada antara mereka yang menemui ajal disaat Ramadhan kian hampir tiba. Betapa sedihnya hati si suami kerana tidak dapat menyambut Ramadhan bersama isteri tersayang yang maut dalam nahas jalan raya. Inilah berita yang menjadi paparan akhbar-akhbar disaat Ramadhan menjelma.

Oleh itu, peluang yang tidak ternilai ini janganlah kita sia-siakan begitu sahaja. Marilah kita lipatgandakan amalan kita sepanjang bulan yang penuh barakah ini dengan melakukan perkara-perkara sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, iktikaf dan berqiamullail. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan sepertimana sabda nabi s.a.w yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ. (رواه مسلم)

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)" - (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Bagi golongan mahasiswa mahasiswi yang sekarang berada dalam musim peperiksaan akhir semester, Ramadhan ini merupakan satu peluang untuk mereka fokus terhadap mengulangkaji disamping beribadah. Sebagai seorang pelajar harus bijak membahagikan masa mengulangkaji dan beribadah. Dua kompilasi ini jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti akan menghasilkan satu natijah yang sangat manis iaitu kejayaan.

Semoga ibadah puasa kita adalah ibadah yang berkualiti, tidak hanya sekadar mendapat letih dan dahaga. Selain menahan diri dari makan dan minum, antara aspek lain yang perlu dijaga adalah pandangan dan percakapan seharian kita. Rebutlah peluang ini dengan sebaiknya kerana belum tentu masih ada Ramadhan untuk kita pada tahun hadapan.

By: Abdul Syukur Hj Ramli
25 Jun 2015/ 8 Ramadhan 1436
11.00 p.m

0 comments:

Post a Comment